Program TIMMS – Pejabat Pendidikan Daerah, Hulu Langat

Pihak IPGK Ilmu Khas, khususnya Jabatan Matematik dan Sains telah menjalinkan kerjasama melalui Pejabat Pendidikan Daerah, Hulu Langat, membantu SMK Cheras Perdana dan SMK Saujana Impian dalam menyediakan pelajar Tingkatan Dua bagi menduduki TIMSS. Aktiviti yang dirancang adalah dalam tempoh masa bulan September ke Oktober 2014.  

Aktiviti yang dirancang iaitu Program Pusaran Idea untuk TIMSS 2015 yang dianjurkan bersama itu melibatkan 80 org pelajar dari kedua-dua buah sekolah, guru-guru  Matematik dan Sains seramai 10 orang dan 8 orang pensyarah dari Jabatan Matematik dan Sains IPGK Ilmu Khas. Pengisian program yang menumpukan kemahiran berfikir melalui aktiviti ‘hands on’ dalam matematik dan sains  telah mendapat sambutan yang sangat mengalakkan dari setiap pelajar termasuk dua orang pelajar OKU. Program tersebut telah berjalan dengan lancar dan mendapat maklumbalas yang positif dari semua pihak yang terlibat.

PENGISIAN PROGRAM:

Secara umumnya pensyarah-pensyarah sebagai fasilitator dan guru-guru sebagai pembantu fasilitator diagihkan mengikut bidang Matematik dan Sains. Lapan puluh (80) orang pelajar dibahagikan kepada  kumpulan-kumpulan kecil dan menjalankan aktiviti ‘hands on’ untuk Matematik dan Sains mengikut stesen secara serentak.

Pensyarah-pensyarah menerangkan aktiviti di setiap stesen untuk pelajar-pelajar dalam kumpulan melaksanakan tugasan dan menjawab soalan dalam kertas edaran. Pelajar-pelajar dirangsang berfikir aras tinggi dan digalakkan berinteraksi  dalam meneroka aktiviti ke arah penyelesaian masalah.

Pelajar-pelajar dibimbing untuk berfikir dari pengalaman melalui aktiviti ‘hands on’ untuk menjawab contoh-contoh soalan TIMSS. Guru-guru pula didedahkan kepada kaedah menjalankan aktiviti Sains dan Matematik tersebut sebelum mengambil alih dalam memudahcara aktiviti pelajar-pelajar.

Maklumbalas dari pelajar-pelajar, guru-guru melalui temu bual dan borang penilaian serta pemerhatian oleh pensyarah-pensyarah atas perjalanan aktiviti-aktiviti dinilai dan dirujuk untuk usaha penambahbaikan program yang akan datang.