KBAT dalam Huraian Kurikulum
Di dalam setiap huraian kurikulum, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dinyatakan secara eksplisit supaya guru dapat mentafsir kurikulum semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kepentingan KBAT adalah untuk merangsang pemikiran yang lebih berstruktur dan berfokus dalam kalangan murid. Selain itu, KBAT berupaya memberi pengajaran secara berfokus dengan menumpukan pencapaian terhadap empat tahap pemikiran seperti berikut;
Tahap pemikiran | Tahap pemikiran Penerangan |
Mengaplikasi | Menggunakan pengetahuan, kemahiran, dan nilai dalam situasi berlainan untuk melaksanakan sesuatu perkara |
Menganalisis | Mencerakinkan maklumat kepada bahagian kecil untuk memahami dengan lebih mendalam serta hubung kait antara bahagian berkenaan |
Menilai | Membuat pertimbangan dan keputusan menggunakan pengetahuan, pengalaman, kemahiran, dan nilai serta memberi justifikasi |
Mencipta | Menghasilkan idea atau produk atau kaedah yang kreatif dan inovatif |
Pelaksanaan KBAT secara terancang juga dapat meningkatkan keupayaan murid untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Antara lain maksud kemahiran tersebut adalah seperti berikut;
- Kemahiran berfikir kritis – merujuk kepada kebolehan untuk menilai sesuatu idea secara logik dan rasional untuk membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah.
- Kemahiran berfikir kreatif – guru perlu lebih kreatif serta boleh membentuk kemampuan murid untuk menghasilkan atau mencipta sesuatu yang baharu dan bernilai dengan menggunakan daya imaginasi secara asli serta berfikir tidak mengikut kelaziman.
- Kemahiran menaakul – membimbing pelajar menjana keupayaan individu membuat pertimbangan dan penilaian secara logik dan rasional.
- Strategi berfikir – melatih murid cara berfikir yang berstruktur dan berfokus untuk menyelesaikan masalah.
Sepanjang IPGKIK menjadi Pusat Kecemerlangan Kemahiran Berfikir, KBAT telah menjadi indikator kemenjadian seorang bakal guru. Siswa guru dilatih dan dibimbing agar dapat mengaplikasi kepelbagaian aktiviti dalam bilik darjah seperti aktiviti berbentuk menaakul, pembelajaran inkuiri, penyelesaian masalah dan projek. A dalah menjadi harapan, usaha PKKB IPGKIK dapat melatih guru dan murid perlu mengaplikasi kemahiran ini dan menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran, peta minda, dan Thinking Hats serta penyoalan aras tinggi untuk menggalakkan murid berfikir. (Disusun oleh Hazimah_jtp)